Monday 20 June 2011

Akhlak, Iman Tunjang Cinta Sejati



KONSEP Islam yang sempurna dalam segenap aspek kehidupan tidak menolak nilai semula jadi yang membentuk diri manusia. Perasaan kasih sayang, benci, dendam, rindu, malu, takut, sedih dan gembira itulah yang disebut kekuatan syahwat yang sememangnya dibekalkan oleh Allah kepada makhluk-Nya.

Dr Hamka dalam bukunya Tasawuf Moden, ketika memetik ungkapan Imam al-Ghazali mengenai hakikat bahagia menyatakan
bahawa tiga syarat utama mesti dimiliki oleh manusia yang inginkan kebahagiaan.

Pertama, kekuatan ilmu, kemudian kekuatan syahwat dan terakhir kekuatan marah.

Syahwat dan marah mesti berlutut di bawah ilmu sehingga tidak terjadi pemujaan syahwat dan kebuasan binatang pada diri kita.

Cinta tanpa dinafikan berputik daripada syahwat semula jadi manusia. Sikap manusia yang beriman ketika merasakan
kehadiran cinta, sepatutnya menyandarkan perasaan itu pada penilaian mana halal dan haram. Sikap menolak terus hubungan
cinta antara lelaki dan wanita adalah terlalu kejam terhadap gerak naluri manusia.

Bukankah Rasulullah SAW mencela pemuda yang berikrar untuk tidak mahu berkahwin kerana hendak membersihkan diri?
Pada akhir hadis itu Baginda mengingatkan mereka: "Sesiapa yang membenci sunnahku bukan daripada golonganku."

Islam menghalalkan perhubungan cinta yang dibatasi dengan adabnya sehinggakan Imam Ibnu Qayyim al-Jauziyyah
mengarang kitab yang membahaskan mengenai cinta dan kerinduan iaitu Raudhah al-Muhibbiin wa Nuzhah al-Musytaqiin
(Taman Orang Yang Bercinta dan Dataran Orang Yang Berkasih).

Ia mengupas perkara yang dihalal dan diharamkan bagi mereka yang bercinta.

Panduan menikmati cinta dengan cara halal bagi mereka yang berkasih sebelum memasuki bahtera pernikahan.

l Menjaga Pandangan.

Pandangan yang tidak disengajakan boleh membawa isyarat syahwat yang halus dan tersembunyi.

Apatah, lagi jika pandangan itu sengaja dilepaskan untuk memuaskan gejolak cinta. Dalam sahih al-Bukhari
diriwayatkan kisah al-Fadhl bin al-Abbas, sepupu Rasulullah yang duduk bersama Nabi di atas untanya ketika
perjalanan ibadat haji dari Muzdalifah ke Mina.

Tiba-tiba, sekumpulan wanita yang lalu di hadapan mereka menarik perhatian al-Fadhl bin al-Abbas
(seorang belia tampan yang masih muda remaja) sehingga Baginda terpaksa membalikkan muka al-Fadhl ke arah lain.

Mata adalah organ seks yang paling awal berfungsi. Firman-Nya bermaksud :
"Katakanlah kepada lelaki-lelaki yang beriman, hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya,
yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka kerjakan.
Katakanlah kepada wanita-wanita yang beriman, hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya.”
(Surah an-Nur, ayat 30-31)



2 Jangan berdua-duaan

Pintu masuk syaitan hendaklah ditutup rapat sebelum mata sama memandang, hati berpautan, gerak tubuh
meminta perhatian, tangan berpegangan dan suasana yang sunyi, akhirnya menghantar angin nafsu syahwat yang mematikan iman.

Perlu diingatkan bahawa maksud berdua-duaan sama ada secara sembunyi atau di khalayak ramai adalah sama
diharamkan jika timbul gerakan haram seperti menyentuh, memandang dengan berahi dan mengeluarkan kata-kata merangsangkan.

Rasulullah bersabda bermaksud; "Mata itu berzina, zinanya adalah memandang; lidah itu berzina,
zinanya adalah perkataan; kaki itu berzina, zinanya adalah langkahnya; tangan itu berzina, zinanya adalah memegang;
hati berkehendak dan berkhayal sedangkan kemaluan membenarkan atau mendustakannya."
(Riwayat al-Bukhari, Muslim, al-Nasaie dan Abu Daud)


3 Cinta kerana Allah

Jika ditakdirkan kita bertemu dengan kekasih hati sebelum gerbang perkahwinan, alangkah bertuahnya
jika fasa berkenalan disulam dengan benang iman kepada Allah dan rasul-Nya.

Sabda Rasulullah: "Tiga perkara jika ada pada seseorang ia akan merasakan manisnya iman, iaitu orang yang
mencintai Allah dan rasul-Nya lebih dia cintai dari selainnya, dia tidak mencintai seseorang melainkan kerana
Allah dan dia enggan kembali kepada kekufuran seperti dia benci dilemparkan ke neraka."
(Riwayat al-Bukhari, Muslim, at-Tirmizi dan al-Nasaie)

Kekuatan cinta sejati ada pada akhlak suci yang disemai bersama iman yang membara di hati.

Ubat paling mujarab dan berkesan bagi mereka yang sakit kerana bercinta adalah pernikahan yang menghalalkan
segala bentuk hubungan syahwat.

Jika tidak mampu, maka berpuasa. Dengan kata lain jagalah akhlak, hati dan adabnya ketika bercinta.

Renungilah mutiara kata Dr Hamka dalam mencari pedoman dalam bercinta. Katanya: "Cinta ialah iradah Tuhan,
dikirimnya ke dunia supaya tumbuh. Kalau ia terletak di atas tanah yang lekang dan tandus, tumbuhnya akan
menyeksa orang lain. Kalau ia datang pada hati yang keruh dan kepada budi yang rendah, ia akan membawa kerosakan.
Tetapi jika ia hinggap di hati yang suci, ia akan mewariskan kemuliaan, keikhlasan dan taat kepada Ilahi."

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...